Lajnah dan Exco

Saturday, December 28, 2013

umi...



Ramai yang kata, kita benar-benar akan mengerti pengorbanan seorang ibu pabila kita sendiri merasa menjadi seorang ibu.
Ramai orang berkongsi cerita, bahawa setelah mengalami detik-detik kehamilan baru terasa akan pengorbanan sebenar ibu sendiri melahirkan.
Ramai juga yang bicara perihal menghargai ibu setelah benar-benar melalui detik keibuan ketika hamil, setelah melahirkan dan menjalani tempoh membesarkan anak-anak amanah Allah.



Menjadi Ibu


Impian setiap insan yang berumah tangga ingin memiliki anak penyambung generasi, buah cinta pengikat dan pelengkap sebuah rumah tangga. Malahan harapan dan impian besar ini diletakkan sepenuhnya kepada kaum Hawa kerana mereka yang bakal memikul tempoh kehamilan dan kelahiran zuriat yang dinanti-nanti.


Detik penantian itu kadangkala terlalu menyeksakan pabila hadir cakap-cakap sekeliling yang tidak jemu bertanya akan bilakah lagi rumah ini bakal diserikan dengan kehadiran tawa nangis anak-anak kecil.


        Pabila berita gembira hadir, belum pun melihat bentuknya sudah dihebah-hebahkan kegembiraan ini ke segenap pelusuk alam. Ingin dikongsi berita ini walau penantian itu nanti mungkin bakal dihidangkan dengan pelbagai mehnah ujian yang tidak dijangka.


Catatan Peribadi di Hari Ibu
Diberi peluang oleh Allah untuk merasai detik itu, merasai menerima berita gembira itu benar-benar membahagiakan seluruh jiwa raga saya. Berita yang dinanti-nanti bukan sahaja dalam rumah tangga kecil kami malahan keluarga besar yang sentiasa mendoakan.


               Namun, tempoh awal itu benar-benar menguji kesabaran dan ketabahan kami. Kandungan yang sepatutnya membesar dalam rahim ibunya tidak berada di tempat yang sepatutnya. Berulang kali ke hospital demi menjalani ujian ultrasound untuk mengesan kehadiran ‘dia’ dalam kandungan. Tapi tiada. Rekod darah dan ujian lain menunjukkan positif hamil.


Saat ni, hati saya gundah, gelisah, risau dan sedih. Segalanya bercampur baur ditambah dengan kesakitan yang menjadi-jadi di bahagian bawah abdomen. Pergerakan menjadi terbatas, selera mula susut dan tangisan sering menjadi peneman di malam hari saat sujud memohon keringanan ujian dari Allah.


           Keputusan ujian darah yang dijalankan menunjukkan saya berkemungkinan mengalami ectopic pregnancy atau threatened abortion. Namun, keputusan masih samar-samar. Doktor masih memberikan harapan agar ianya hanyalah andaian perubatan yang mungkin tidak tepat. Darah diambil lagi untuk rekod seterusnya.


Tempoh menunggu panggilan janji temu seterusnya merunsingkan fikiran saya dan suami. Saat ini suami merupakan insan yang paling sabar melayan emosi yang tidak stabil dan fizikal yang semakin tidak sihat. Dan tatkala kami sudah mula tenang dengan ujian ini, saya terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan setelah hampir tujuh minggu bertahan dengan kehilangan darah yang banyak dan kesakitan yang teramat.


             Malam itu juga, yang pertama kali suami tidur di hospital berbantalkan lengan beralaskan kerusi hospital. Malam itu juga, yang pertama kali buat saya didatangi hampir lima orang doktor setiap 30 minit. Darah diambil untuk rekod ujian demi ujian hingga kandungan darah merah semakin menyusut. Akhirnya, tika waktu dhuha saya di arahkan menjalani laparoscopic salpingectomy. Benar, kandungan itu ada tapi bukan dalam rahim saya. Benar, ‘dia’ semakin membesar di usia tujuh minggu, tapi kehadirannya di tempat yang salah akan mengancam nyawa saya. Maka, saya harus melepaskannya pergi.


               Sepanjang perjalanan ke bilik bedah, saya curi-curi dengar perbualan jururawat sekeliling. Hari itu hari ibu rupanya. Mereka yang melahirkan anak pada hari itu akan diberikan ganjaran berupa hadiah dari pihak hospital. Sungguh, hati saya sayu. Saya pejam mata rapat-rapat dan laungkan tasbih pada Allah sekuatnya agar saya tidak langsung mendengar perbualan mereka. Hingga akhirnya, saya terpejam setelah dibius dalam bilik bedah. Dalam dunia separa sedar, saya masih terdengar samar-samar perbualan doktor. Tidak menyedari hakikat fizikal saya ditebuk tiga untuk membuang kehadiran ‘dia’ di sana. Dan saat itu, muncul suara, ” Ni lah janin itu.”
Allah… saya terus pejam dan memuji Allah.


          Hargai Ibu sebelum Menjadi Ibu
Merasai detik kehamilan sebenar dan merasai detik kelahiran yang penuh mendebarkan, pada saya belum pun sampai saat itu kita sepatutnya telah menghargai ibu kita. Tidak perlu tunggu hingga saat itu untuk menghargai ibu. Tidak perlu mengalami hingga saat itu untuk kita mencurahkan bakti dan menghargai kedua orang tua kita.


          Biarkan saat dunia meletakkan tarikh tertentu untuk menghargai ibu sedang kita telah pun menghargai ibu kita pada setiap nafas yang telah Allah kurniakan.
Buat kaum lelaki, jangan tunggu hingga saat anda bergelar bapa, melihat detik isteri melahirkan baru ingin anda merasai pengorbanan seorang ibu. Jangan tunggu hingga saat itu, kalian baru ingin belajar menghargai seorang wanita.



              Pengalaman menjadi ‘bakal ibu dan ayah’ mematangkan kami. Tempoh ini, saya lihat dan merasai kesetiaan, kesabaran dan ketabahan suami. Mengenali dirinya yang sangat menyayangi dan menghargai orang tuanya sebelum dirinya bergelar bapa buat saya yakin bahawa pabila ada zuriat kelak, insyaAllah mereka juga  pasti akan dididik untuk menghargai kami sebelum sampai pula waktu mereka menjadi ibu bapa.


           Pengalaman yang pertama juga buat saya diberi peluang oleh Allah merasai secebis kesakitan ummi saya yang pernah melahirkan kami adik-beradik dengan pelbagai bentuk pembedahan hingga akhirnya Allah kurniakan ‘kerehatan dari kehamilan’ untuk selama-lamanya kepada ummi saya. Apa yang saya alami mungkin terlalu kecil jika nak dibandingkan dengan pengalaman-pengalaman ummi saya.

Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t berfirman: “Dan Kami (Allah) perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada-Ku (tempat) kembalimu.” (Surah Luqman, 31).


Katakan Sayang
Malu untuk menyatakan sayang pada ibu bapa. Saya pun begitu. Sejak kecil perasaan sayang tu sangat asing untuk dizahirkan secara terang-terangan. Sayang itu acapkali ditunjukkan dengan perbuatan; tolong di dapur, belajar rajin-rajin dan menghadiahkan kejayaan demi kejayaan kepada mereka.




             Itu sayang yang saya tunjukkan. Bila semakin dewasa, saya sampaikan pada Allah akan cinta dan sayang saya pada mereka. Moga Allah sampaikan terus kepada mereka tanpa perlu saya menzahirkannya di hadapan mereka.
Kalian yang punya keupayaan untuk menzahirkan sayang kepada orang tua kalian, maka teruskanlah. Seronok melihat anak-anak yang hingga sudah dewasa pun masih boleh mengungkapkan sayang terang-terangan.

      Selamat Hari Ibu buat ummi dan mak mertua saya. Selamat Hari Guru kepada mereka berdua kerana menjadi guru pertama buat saya dan suami.
Selamat Hari Ibu dan Hari Guru buat sekalian yang membaca.
Moga Allah kurniakan kesejahteraan kepada saya, suami, mereka dan kalian untuk terus mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi ibu bapa kepada generasi seterusnya.
Mari Menjadi Hamba.

1 comment:

  1. Assalamualaikum. Usha2 la blog kami. Penubuhan badar di sekolah kami masih baru. harapnya kami dapat ambil manfaat dari badar sekolah anda. :)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails

Ratings and Recommendations by outbrain