Lajnah dan Exco

Thursday, March 14, 2013

NyaWa DuNia (suBuh)

Pada Subuh Ada Kehidupan.

“ Sesungguhnya hati seseorang manusia apabila bersih dan bersinar akan dapat merasai hakikat kelazatan iman kepada Allah SWT.”



Imam Hassan al-Banna



Awal Subuh yang hening

Antara perkara yang saya belajar daripada murabbi-murabbi dalam proses tarbiyah ini ialah sentiasa berusaha untuk bangun awal pagi sebelum azan Subuh berkumandang. Kata Murabbi saya :

“ Waktu awal pagi yang hening adalah waktu yang sangat istimewa bagi orang yang beriman. Ia waktu bermunajat, menangis dan mengadu kepada Kekasihnya. Amalan bangun awal ini adalah amalan para Rasul terdahulu, para sahabat dan juga amalan orang yang soleh dan warak.”

Saya berazam, bertekad dan merancang untuk berusaha untuk bangun sebelum azan subuh. Pernah dalam satu penyampaian seorang sahabat ada menyebut :

“ Kata seorang ulamak, jika seorang mukmin itu bangun selepas azan Subuh itu tandanya dia adalah seorang mukmin yang lalai.”



Tersentak hati saya. MasyaAllah.



Penawar hati, jiwa, perasaan dan sanubari insan. Sangat mujarab!


Nasihat Imam Ghazali



Di dalam kitab Bidayatul Hidayah, Imam Ghazali memberi nasihat 4 perkara yang perlu dilakukan oleh seorang mukmin muslim di awal pagi sebelum subuh. Katanya 4 perkara itu ialah :

(1) Membaca Al-Quran

Melalui hari-hari dalam kehidupan, tanpa ruh Al-Quran adalah tanda kepincangan dan kelesuan jiwa yang sangat kronik. Harus kita memprogram diri untuk membaca, menghayati dan memahami intipati Al-Quran. Biarkan ruh Al-Quran mengalir dalam setiap urut nadi darah kita dengan harmoni, dan aman.



(2) Berdoa

Berdoa adalah senjata kekuatan mukmin yang sangat ampuh. Sangat pelik jika, seorang mukmin itu jarang-jarang berdoa. Menjadikan doa sebagai amalan harian adalah salah satu kaedah yang sangat baik dalam membina hubungan yang kukuh antara makhluk dan Khaliq.

Berdoa akan melahirkan jiwa mukmin yang sentiasa menyakini janji-janji Allah SWT, pasrah kepada ketentuanNya, sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT dalam setiap tanduknya dan ia merupakan tanda ketundukan serta penyerahan sepenuhnya kepada Rabbul Alamin.



(3) Berzikir

Zikrullah adalah amalan soleh yang sangat baik kepada hati. Ia akan menghidupkan, menyegarkan dan memantapkan hubungan hati kita dengan Allah SWT. Banyak zikir-zikir yang boleh kita jadikan amalan dalam hidup ini. Salah satunya juga ialah, zikir al-Mathurat yang disusun oleh Imam Hassan Al-Banna. Alhamdulillah, saya mulai mengamalkannya sejak dari sekolah menengah lagi, ia banyak menguatkan jiwa saya. Cubalah dan rasailah kesannya.



(4) Berfikir

Banyak ayat Al-Quran yang mengalakan usaha-usaha untuk berfikir. Islam adalah agama yang sangat mengalakan umatnya berfikir. Semasa awal subuh juga, kita boleh merencanakan waktu untuk membaca buku, ulangkaji pelajaran, merancang tugasan harian dan berfikir untuk melakukan sesuatu untuk masa hadapan kita. Berfikir itu adalah langkah bagi melaksanakan tuntutan ubudiyah dengan jalan yang terbaik!



Ia harus direncanakan

Amalan-amalan ini adalah amalan ruhaniyah yang akan menguatkan jiwa, hati dan riak wajah. Ia akan mendekatkan hati kepada Allah SWT, membersihkan dan menjernihkan jiwa yang kotor akibat kelalaian serta perbuat dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Ruhaniyah mukmin perlu sentiasa menekankan aspek tarbiyah qalbiyah ini. Didikan hati dengan ibadah ruhaniyah adalah kata kunci kepada pertolongan dan bantuan Allah SWT. Jiwa yang cekal, kuat dan tabah akan berjaya diwujudkan melalui tarbiyah ruhaniyah seperti ini.

Kita mulakan secara ansur maju, usah bertangguh lagi. Marilah kita berusaha bangun awal di pagi hari. Hiasi malam dengan munajat, zikir, membaca Al-Quran, solat malam dan sebagainya bagi membina keperibadian yang mantap serta mampu membentuk kekuatan jiwa yang utuh.InsyaAllah.



Kita usaha, berusaha dan terus berusaha.

Jihad untuk bangun sebelum Subuh adalah langkah pertama kita dalam proses tarbiyah ini.

Siapa yang akan melakukan semua ini?

Saya, Anda dan kita semua!





No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Ratings and Recommendations by outbrain