Lajnah dan Exco

Friday, February 1, 2013

Islam Itu Tinggi


“Kau tau tak rokok tu haram? Membazir pula. Cepat pulak dapat penyakit. Kenapa kau merokok?”
“Haram couple ! Kau nak masuk neraka ke?”
“Kurang ajar punya Cina. Cuba nak hapuskan Islamlah tu. Takde kerja lain.”
Masing-masing individu dalam umat Islam membawa bendera atau dalam erti kata lain membawa imej Islam di setiap penjuru kehidupan mereka. Memang benar, Islam itu tidak dapat digambarkan secara tepat melalui tindakan seorang muslim kerana seorang muslim belum tentu benar Islamnya. Tetapi melalui muslimlah, masyarakat dapat mengetahui dan melihat imej Islam itu.
Cara kita menegur orang yang melakukan dosa dan kesilapan. Akhlak dan peribadi kita dalam kehidupan seharian. Interaksi kita dengan orang yang bukan Islam. Kata-kata yang keluar dari mulut kita.
Mudah atau susahkah Islam?
Memaksa atau mendidikkah?

Kegelinciran Segelintir Orang Yang Ingin Melakukan Islah
Ramai orang yang tergelincir ketika membawa bendera Islam. Bersemangat tetapi kadangkala tersilap cara. Ikhlas ingin orang berubah dan mengikut lunas-lunas Islam yang sebenar, tetapi tidak sabar dan selalu bersikap terburu-buru. Tersilap dalam menentukan mana satu prioriti untuk didahulukan dalam membawa bendera Islam.
Mahu orang melakukan kebaikan, inginkan manusia meninggalkan keburukan, tetapi kadangkala kita tersilap cara. Ada yang terus memaki-maki dan mengeji orang, kadangkala dengan kata-kata yang kesat pula, ada yang terus memberi hukum haram, neraka dan sebagainya, bahkan ada pula yang kadang-kadang memberi label-label tertentu yang tidak elok sehingga menjauhkan antara kita dengan mereka, antara orang yang hendak membaiki dengan orang yang hendak dibaiki, antara pendakwah dengan orang yang hendak didakwah.
Dalam Al-Quran, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Dan serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan contoh yang baik. Dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik.” [An-Nahl : 125]
Hikmah itu sebagaimana didefinisikan oleh Imam Mujahid membawa maksud ‘benar dalam perkataan dan perbuatan’.
Bagaimanakah mengukur kebenaran dalam perkataan dan perbuatan kita?
Sudah tentulah ukuran kita adalah apa yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. sama ada melalui Al-Quran dan hadis.
Kalau mahu menyeru manusia kepada kebaikan, mahu manusia berubah ke arah lebih baik dan meninggalkan keburukan, tetapi kita pula menggunakan kata-kata kesat, memberi label, terus memberi hukum sehingga membuatkan hatinya merasa benci dengan Islam, adakah wujud hikmah di situ?
Maka, dengan sebab itulah, para pemegang bendera Islam, yang merasakan bahawa dirinya sedang membawa imej Islam perlu bijak menentukan prioriti ketika bercakap tentang Islam atau menjadi gambaran kepada Islam.

Merapati Sebelum Memperbaiki
Sebelum kita mahu memperbaiki manusia, sekiranya kita mampu mencapai manusia itu, pergilah rapat kepadanya.
Itulah keutamaan sebelum kita mahu membaikinya.
Kadangkala, ada orang yang terburu-buru terus mahu memaki hamun orang, menuduh orang, memfitnah orang dengan niat ingin membetulkan dan membaiki orang itu. Tetapi dia telah tersilap cara.
Barangkali orang yang mahu ditegur itu tidak tahu atau jahil tentang dosa itu. Barangkali dia lahir daripada keluarga yang latar belakang agamanya tidak begitu baik, mungkin itulah yang menyebabkan dia terjebak dengan dosa-dosa dan kemungkaran.
Ada juga orang yang mahu berubah menjadi lebih baik, mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan oleh Islam, tetapi kerana tidak ada suasana yang baik, tidak ada kawan-kawan baik yang boleh membantu dirinya ke arah itu, maka terus-menerus dia dibawa oleh arus yang tidak baik.
Maka, tugas kitalah yang membawa bendera Islam ini untuk pergi rapat kepada mereka dan berusaha mengenali hati budi mereka. Kalau benar kita ingin membaiki mereka, maka binalah hubungan di antara kita dengan mereka dahulu.
Kata guru saya, “Bina jambatan hati antara kita dengan mereka.”
Ya, jambatan kalau telah elok terbina, senang untuk kita rentas dari satu tebing ke tebing yang lain, Begitu jugalah hati. Kalau telah terbina hubungan yang baik antara kita dengan dia, kita tidak perlu keras-keras pun, tidak perlu maki hamun pun, kadangkala tidak perlu cakap banyak pun, dia sendiri sangat mudah menerima bila kita memberikan teguran atau nasihat.
Berbanding dengan kita dengan dia pun tidak pernah kenal, tiba-tiba kita datang kepada dia terus tegur. Sudah tentulah dia akan cepat melenting dan marah kita semula.
Begitu juga, kadangkala, ada orang yang merasa cukup dengan hanya memberikan teguran umum melalui Facebook, membuat status dan yang sewaktu dengannya. Tidak dinafikan bahawa semua itu sebenarnya adalah satu keperluan juga dalam mengislah dan memperbaiki manusia. Mana tahu mungkin ada yang tersentuh dengan kata-kata dan teguran kita itu lalu mengambil perhatian untuk mengubah dirinya.
Namun, itu sahaja tidak cukup. Mungkinlah ada orang yang tersentuh lalu mahu berubah, tetapi tahukah kita berapa orang jumlahnya? Atau benarkah ada? Berbanding dengan kita pergi dan merapati manusia lalu mengenalinya, menjadi sahabat yang baik dengannya lalu berusaha membantu perubahan dirinya sedikit demi sedikit, manakah yang lebih diyakini hasilnya?

Tugas Kita Yang Utama Untuk Membaiki Real Problem, Bukan Presenting Problem
Ramai orang yang cepat mahu menegur atau marah ataupun memaki hamun orang yang melakukan dosa dan kesilapan adalah kerana mereka tidak tahan melihat masalah sedia ada (presenting problem) yang ada di depan mata mereka.
Melihat orang merokok, hati cepat mahu marah.
Melihat lelaki dan perempuan berdua-duaan, hati cepat mahu mengata.
Melihat perempuan tidak menutup aurat, terus memfitnah sana sini.
Begitu jugalah dosa-dosa peribadi yang lain.
Pokok yang baik itu terhasil kerana akarnya yang baik juga. Kalau akarnya itu saja sudah rosak, maka pokok dan buahnya rosak juga.
Sebab itu, bila kita ingin membaiki manusia, lihat dan analisislah apakah masalah sebenarnya (real problem)?
Pokok yang rosak, buah yang rosak, kalau kita mahu membaikinya dengan mengambil langkah membuang semua buah-buah busuk di dahannya tanpa mempedulikan akarnya, maka nanti hasilnya akan sama juga. Ia tidak akan menghasilkan pokok yang baik.
Kadangkala, orang merokok bukan kerana dia mahu merokok pada awalnya. Tetapi kerana pengaruh suasana. Pengaruh rakan-rakannya.
Ada orang yang tidak menutup aurat, bukan kerana dia tidak mahu menutup aurat, tetapi hatinya tidak ada dorongan ke arah itu. Dia tahu menutup aurat itu wajib, tetapi di dalam hatinya ia tidak merasa penting terhadap hal itu.
Islam bukan sekadar agama hukum, tetapi Islam adalah agama roh. Ia tidak datang untuk memberikan arahan-arahan tertentu kepada manusia tanpa mendidiknya pula ke arah itu. Tidak, bukan begitu Islam.
Lihatlah bagaimana Allah menurunkan perintah larangan meminum arak. Berperingkat-peringkat Allah mendidik ummat melalui Rasulnya, akhirnya sampai sahaja ke ayat yang terakhir, para sahabat sudah dapat memahami dan tanpa cakap banyak lagi terus memecahkan tempayan-tempayan arak di rumah mereka.
Sebab itu, dalam konteks kita sebagai seorang individu dalam masyarakat, bila kita mahu membaiki keadaan masyarakat, tidak cukup sekadar memberi atau menetapkan hukum, kerana hukum hanya akan mampu merawat presenting problem, tetapi lebih daripada itu kita perlu mendekati manusia, mendidiknya, memulihkan keimanannya kerana itu akan membantu merawat real problem.
Manusia bermasalah bila imannya kepada Allah bermasalah.
Manusia bermasalah bila tidak ada hubungan dengan Allah.
Kita boleh ceritalah betapa bahayanya merokok, rokok itu haram, membazir duit dan sebagainya, tetapi jika kita tidak menyelesaikan akar kepada masalah itu, maka masalah itu akan terus-menerus ada.

Penutup : Membetulkan Prioriti Sebelum Ramai Yang Menjauhi
Setiap individu muslim adalah penjuru kepada Islam itu sendiri. Setiap orang membawa gambaran tertentu terhadap Islam. Dalam hidupnya, dalam cara pergaulannya, dalam kata-katanya, dalam dakwahnya dan lain-lain.
Jika kita membawa imej yang ganas, maka Islam akan dikenali sebagai agama terrorist.
Jika kita membawa imej yang ekstrem, maka Islam akan dikenali sebagai agama ekstremist.
Walaupun Islam bukanlah selayaknya digambarkan sebagaimana tindakan diri kita itu, tetapi begitulah orang melihat Islam. Orang melihatnya daripada para pembawa dan pendokongnya.
Sebab itu, betulkanlah prioriti kita dalam membawa bendera Islam. Ketika kita ingin orang bergerak menjadi lebih baik, memahami Islam, hidup dengan cara hidup Islam, dan meninggalkan kemungkaran, maka prioriti kita dalam bertindak adalah sepatutnya membuatkan orang lebih tertarik untuk mendekati Islam, bukannya membuatkan orang semakin rasa jauh daripada Islam.
Bendera Islam ini mulia, maka muliakanlah juga cara kita mendokongnya !

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Ratings and Recommendations by outbrain