Lajnah dan Exco

Saturday, May 29, 2010

Lupa al-Quran, Kita Kian Kembali Jahil

   Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca blog rasmi BADAR SERATAS. Semoga sentiasa sihat hendaknya. SAYA SILAP mengenai penganjur pertandingan 'Draw Muhammad Day' yang lalu. Penganjur pertandingan tersebut merupakan Molly Norris. Manakala Mimi Sulpovar merupakan salah seorang artis yang menggalakkan orang ramai untuk menyertainya. Semoga kesilapan tersebut dapat dimaafkan para pembaca.



   Para pembaca yang dihormati, Allah menurunkan ayat-ayatNya agar ditarbiahkan Nabi Muhammad S.A.W kepada masyarakat jahiliyyah di Mekah suatu ketika dahulu. Suatu ketika di mana masyarakatmya jahil dalam pelbagai aspek. Biar tidak bodoh dari segi ekonominya tetapi bodoh dari segala segi akhlak dan rohani mereka. Oleh sebab itulah Allah S.W.T menurunkan ayat-ayatnya (al-Quran) yang mengandungi petunjuk ke jalan yang diredhaiNya, siratulmustaqhim. Alhamdulillah, berkat doa dan usaha Nabi Muhammad S.A.W, kebenaran dapat ditegakkan biar masih ada golongan yang menentang keras dakwah Rasulullah S.A.W al-Amin kita.


   Dengan erti kata lain, al-Quran memainkan peranan penting dalam pembentukan semula akhlak masyrakat Arab di Mekah pada ketika itu selain sunnah dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Baru-baru ini dan masih lagi berlaku, kes-kes pembuangan bayi kian menggila dalam kalangan masyarakat kita. Apa kejadahnya kes seumpama ini berlaku dalam masyarakat kita? Kembali ke zaman Jahiliyyah yang lalu, hanya orang Arab Jahiliyyah yang melakukan perbuatan yang terkutuk ini sehingga sanggup menanam anak (perempuan) sendiri hidup-hidup. Berdasarkan kepada laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!


Statistik anak luar nikah yang BERDAFTAR tahun 2009, tidak termasuk yang tidak berdaftar. - Berita Harian.


   Hal ini amat berkait dengan gejala seks bebas yang kian menular dalam kalangan masyarakat Malaysia kini tidak kira tua ataupun muda. Tak kurang juga teruknya dengan kes pembuangan bayi, kes-kes rogol juga berlaku dengan dahsyatnya dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kes bapa kandung rogol anak kandung, bapa tiri rogol anak dan pelbagai lagi bentuk pencabulan kehormatan terhadap wanita yang dilakukan kini kian serius. Sesuai dengan layanan orang arab zaman Jahiliyyah terhadap kaum wanita dahulu. 


Pergaulan bebas dalam kalangan remaja menggalakkan seks bebas, suatu agenda BARAT merosakkan muda-mudi Islam. - Gambar hiasan.
   Kalau dikaji kembali, ini semua merupakan akibat orang Islam Malaysia kini yang kebanyakannya meninggalkan al-Quran. Allah berfirman:
(36) وَمَن يَعۡشُ عَن ذِكۡرِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ نُقَيِّضۡ لَهُ ۥ شَيۡطَـٰنً۬ا فَهُوَ لَهُ ۥ قَرِينٌ۬ 
Surah az-Zukhruf, ayat ke-36.
yang bermaksud: 'Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.(36)'

 Zaman Jahiliyyah merupakan zaman sebelum turunnya ayat al-Quran di mana masyarakat zaman Jahiliyyah tiada sebarang bentuk garis panduan dan mendorong mereka melakukan perkara sesuka hati mereka. Al-Quran mestilah tidak hanya dibaca, akan tetapi difahami makasudnya. Ini bermakna terjemahan al-Quran begitu penting dalam hidup kita.


   Justeru, marilah kita mulakan tradisi baru. Marilah kita kembali kepada al-Quran dengan membacanya serta mengetahui terjemahannya. Apalah sangat harga RM35 untuk satu terjemahan al-Quran yang bersaiz poket kalau dibandingkan dengan pahala Allah yang berlipat kali ganda di dunia dan di akhirat, pelaburan akhirat! Buanglah segala pemikiran kolot kita terhadap orang yang sentiasa membaca al-Quran. Mari kita mulakan bersama. Lebih bijak untuk kita membaca al-Quran dan terjemahannya di tempat-tempat awam daripada membeli majalah-majalah gosip dan komik yang tidak berfaedah. 


   Mari kita sama-sama sebarkan gelombang al-Quran dan saling menasihati sesama Muslim, menunjukkan kita kasih kepada semua Muslim. Allah berfirman:


(10) نَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
Surah al-Hujurat, ayat ke-10.
yang bermaksud: 'Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.(10)'




   Semoga usaha kita diberkati dan dibantu Allah S.W.T. Insya-Allah.


   


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Ratings and Recommendations by outbrain