Lajnah dan Exco

Monday, January 17, 2011

SOLAT BOLEH MERAWAT PENYAKIT

Assalamualaikum. Apa khabar iman hari ini? Biasalah iman kita adakala menaik adakalanya menurun. Istiqamahlah dalam  mutabaah. Istiqamah ni bukan maksudnya sama  sahaja di tahap yang lama. Tetapi, ia berterusan dan terus meningkat. Contohnya, minggu ini kita berjaya menghabiskan 1 juzuk dan insyaALLAH minggu depan kita tingkatkan sedikit untuk menghabiskan 2 juzuk dalam seminggu. Begitulah yang seterusnya. Baiklah kali ini, kita membincangkan tentang solat. Hebatnya solat yang difardhukan kepada kita. Bacalah untuk manfaat kita bersama.

 Nabi Muhammad turut menekankan ibadah yang pintar bermula dengan wuduk yang menyimpan 1001 rahsia. Melalui wuduk, kesihatan bertambah baik, wajah berseri-seri dan tampak awet muda jika dilaksanakan dengan sempurna. Dalam buku 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah karya Dr Mohammad Ali Toha, Prof Dr Syahathah dari Fakulti Perubatan, Universiti Alexandria, Mesir membuat kajian bahawa 'istinsyaq' atau memasukkan air melalui hidung ketika berwuduk membersihkan hidung daripada kuman.



Cara melakukannya ialah dengan memasukkan air seperti menarik nafas dengan kekuatan sederhana kemudian mengeluarkan air itu dengan hembusan yang kuat. Kaedah itu jika dilakukan dengan sempurna mampu mencegah 17 penyakit berbahaya, antaranya mata, telinga kulit, radang kerongkong, batuk dan penyakit paru-paru dan penyakit mental. Percayalah, jika Allah memerintahkan sesuatu ibadah itu, pasti ada hikmah dan manfaat kepada manusia.

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

Hasil kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.



Oleh itu, Nabi Muhammad s.a.w menganjurkan kita jangan tidur selepas makan, tetapi berzikir dan bersolat. Diceritakan, suatu hari Abu Hurairah sakit perut lalu Nabi berkata: "Bangkit dan bersolatlah kerana sesungguhnya ada perubatan dalam solat." Menurut kajian penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya (UM) solat boleh merawat pelbagai penyakit kronik.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas – Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan. Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh, katanya.Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok – Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.
 

Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang, katanya "Walaupun bukan Islam, saya kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur."

Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah, katanya. "Ketika itu, isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.  Solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak. Sehubungan itu, solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian."

Dr Fatimah Ibrahim – Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak. Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.


 Dr Fatimah berkata, "Orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik. Kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh."


Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih yang mempunyai cas negatif. Ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang. Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot. Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.


Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat, katanya. "Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut." Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus. Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit. Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring. Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: "Aku diarahkan untuk sujud di atas tujuh anggota sujud: di atas dahi dan Nabi menunjukkan ke arah dahinya (termasuk hidung) dan kedua-dua belah tangan dan kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung kaki." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Dengan mengamalkan jari kaki membengkok ketika gerakan sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir mendapati ia mampu membakar lemak dalam badan selain mengurangkan risiko penyakit jantung.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Maka, untuk mendapat kesihatan yang paling baik anda semua harus solat lima waktu sehari semalam. Padahal, itukan wajib bagi kita semua. Memang Islam dan sains amat selari dengan kahidupan kita seharian. Setiap yang ALLAH fardhukan pada kita semua pasti ada hikmahnya. 

Sekian, assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Ratings and Recommendations by outbrain