Lajnah dan Exco

Friday, January 28, 2011

PENDUDUK ISLAM BERTAMBAH LEBIH CEPAT

Assalamualaikum w.b t.

Pada Oktober lalu, adik ipar bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair dilaporkan memeluk Islam setelah melawat kota suci Qom bulan lalu. Lauren Booth, 43, berharap keislaman beliau mampu merubah persepsi Tony terhadap Islam. Lauren berkata, :Ketika melawat makam Fatimah al-Masumeh saya merasakan suntikan spiritual di seluruh tubuh saya. Ianya sesuatu yang menggembirakan dan menyeronokkan." Sekembalinya ke Britain, beliau terus memeluk Islam. Beliau kini berhijab, bersolat 5 waktu dan sedang berusaha membaca al-Quran. Selain itu, beliau berhenti makan daging khinzir dan tidak minum arak



Bukan hal ini yang hendak dibincangkan sebenarnya. Tetapi ada info yang penting ingin disampaikan. Sedar atau tidak saudara Islam semakin bertambah. Pada minggu ini sahaja ana sudah baca 2 akhbar yang melaporkan tentang hal ini. Utusan Melayu Jawi yang bertarikh 24 Januari 2011 dan Utusan Melayu 28 Januari 2011. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Rasa gembira kerana ramai masyarakat asing sudah menerima hidayah dari ALLAH. 

Menurut laporan akhbar-akhbar tersebut, di Washington, penduduk Islam di dunia akan bertambah sekali ganda lebih cepat berbandingpenduduk bukan Islam dalam tempoh 20 tahun akan datang. Kajian terbaru oleh Pew Forum on Religion and Public Life meramalkan umat Islam dalam sesuatu generasi akan menyamai lebih 25% daripada penduduk dunia. Penduduk Islam di Amerika Syarikat dijangka bertambah daripada 2.6 juta pada 2010 kepada 6.2 juta pada 2030. Faktor yang mendorong hal ini ialah prinsip Barat yang menekankan kreativiti dan kebebasan berfikir individu di negara itu. Mereka cuba mengkaji lebih mendalam mengenai Islam apabila ada pihak yang menyatakan Islam sebagai pengganas. Namun, sebaliknya yang berlaku apabila mengetahui bahawa Islam menyeru kepada kemanan.

Namun, yang menjadi persoalannya adakah kita yang ramai ini mampu untuk menjadi muslim yang tulen?

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagimu." (2:208)

Kita yang dilahirkan Islam sendiri masih cetek ilmu tentang Islam kerana ramai yang mengambil mudah untuk mempelajari tentang agama ALLAH ini. Padahal pelbagai perkara perlu dipelajari dan dihayati barulah terasa betapa Islam itu sangatlah indah dan lengkap. Masih ramai manusia yang berada di luar sana terkapai-kapai mencari arah dan halatuju. Siapakah yang akan membimbing mereka? ALLAH tidak menciptakan kita saja-saja.



"Maka apakah kamu mengira bahawa KAMI menciptakan kamu main-main(tanpa ada maksud) bahawa kamu tidak dikembalikan kepada KAMI?"(23:115)

"AKU tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereaka beribadah kepadaKU"(52:56)

Kenapa mesti kita melakukan sesuatu yang tiada sangkut paut dengan ALLAH sedangkan kita datang dariNYA dan akan dikembalikan kepadaNYA semula? Mungkin iman kita masih lagi rapuh umpama dendangan Opick-Rapuh. Mugkin ada yang ingin mengajak kawan-kawan ke arah kebenaran tetapi masih lagi tidak mampu untuk menegur. Cuba anda baca di sini. InsyaALLAH dapat membantu. 



Ingin sekali diri ini berada dalam suasana tarbiyyah yang mana semua di sekeliling kita mempunyai matlamat yang satu dan jelas iaitu mencari redha ALLAH. Cuba anda bayangkan apabila anda pergi ke hospital, semua doktor-doktor perempuan bertudung labuh termasuk cleaner hospital sekali! Tengah menyapu pun siap pegang tafsir al-Quran lagi. Jurutera-jurutera lelaki yang beriman pula bertungkus lumus menaik taraf teknologi di hospital. Tidakkah anda berasa selamat berada dalam komuniti yang sebegini? 

Semua ini tidak mustahil akan berlaku kalau kita yang memulakannya dari sekarang. Bagaimana caranya? Jalinkan hubungan sesama manusia kerana ALLAH. Lakukan apa sahaja tindakan kerana ALLAH. Percayalah bahawa apabila sesuatu tindakan dilakukan atas nama ALLAH kita sanggup lakukan apa sahaja. Cuba anda baca ini. Ini ialah sebahagian daripada novel Sinergi-Hilal Asyraf. 



Semuanya berlaku atas dasar iman. InsyaALLAH anda akan sedar betapa iman itu sangat penting. Cuba anda perhatikan dalam al-Quran banyak yang menyeru "wahai orang-orang yang beriman!...". Iman itu adalah asas dan selepas itu barulah datangnya taqwa.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada ALLAH dengan sebenar-benar taqwa kepadaNYA dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim."(4:102)

Akhirulkalam, marilah kita bersama-sama berusaha mencari keredhaan ALLAH dalam setiap tindakan yang diambil. Jangan pernah berputus asa atau merendah diri untuk menyampaikan kebenaran kerana kita manusia adalah umat terbaik.

"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah yang mungkar, dan beriman kepada ALLAH."(3:110)












No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Ratings and Recommendations by outbrain